Tun Abdul Razak meninggal dunia

Pada 14 Januari 1976, dengan rasa yang amat sedih dan mengharukan, seluruh negara terpaksa menerima ketentuan Ilahi apabila Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua meninggal dunia di London. Putera sulung kepada Datuk Hussein bin bin Mohd. Taib (Orang Kaya Shahbandar, Pahang), beliau dilahirkan pada 11 Mac 1942 di Pulau Keladi, Pahang. Beliau telah mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Pekan dan pelajaran Menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pada tahun 1939 memulakan kerjayanya sebagai seorang pentadbir dalam Perkhidmatan Pentadbiran Melayu (MAS).

Tun Abdul Razak


Pada tahun 1940, Tun Abdul Razak telah dihadiahkan biasiswa untuk menuntut di Raffles College Singapura dan terus melanjutkan pengajiannya dalam jurusan undang-undang di Lincoln Inn, London atara tahun 1947 hingga 1949. Sekembalinya ke tanahair dalam tahun 1949, beliau dilantik sebagai Pegawai Pentadbiran Malaya (MCS). Pada tahun 1951, beliau dilantik sebagai Ahli tidak rasmi Majlis Undangan Persekutuan sehingga Majlis itu dibubarkan pada tahun 1955. Pada tahun 1952, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan dilantik sebagai Pemangku Menteri Besar Pahang pada bulan Februari 1955.

Penglibatan beliau dalam arena politik bermula semasa beliau masih menuntut di London. Beliau menjadi ahli Parti Buruh British dan merupakan seorang pemimpin pelajar yang cergas dan terkenal dalam Kesatuan Melayu United Kingdom dan Malayan Forum. Bagaimanapun, penglibatan beliau secara aktif dalam arena politik tanahair bermula pada tahun 1950 apabila beliau memasuki UMNO dan dipilih menjadi Ketua Bahagian Pemuda. Pada tahun 1951, beliau menjadi Timbalan Yang Dipetua UMNO dan memegang Jawatan itu, sehingga 23hb Januari 1970.

Abdul Razak

Sebagai seorang tokoh politik yang berkaliber dan gigih, beliau dengan mudah memenangi Pilihanraya Persekutuan yang berlangsung pada bulan Julai 1955. Dengan kemenangan itu, beliau telah dilantik sebagai Menteri pelajaran pada 9hb Ogos 1955. Beliau adalah salah seorang anggota rombongan Merdeka ke London pada bulan Januari 1956. Selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 Tun Abdul Razak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri disamping memegang jawatan-jawatan yang lain, sehingga 22 September 1970 apabila beliau menjadi Perdana Menteri mengantikan Tunku Abdul Rahman Putra yang bersara terus dari Jawatan itu.

Sesungguhnya, jasa dan bakti Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua itu amat banyak dan besar. Negara mengakuinya sebagai Bapa Pembangunan Negara. Perjuangan untuk membangunkan negara melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang beliau ilhamkan itu masih dipertengahan jalan apabila beliau meninggalkan kita buat selama-lamanya pada tahun 1976. Negara terpaksa merelakan pemergian beliau dengan rasa sayu dan terharu. Penghormatan negara begitu besar dan di Makam Pahlawan jasad beliau disemadikan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment
 
Copyright © 2013. Berita Lama - All Rights Reserved