PM Britain pertama melawat Malaysia

Pada 12 Januari 1971, buat pertama kalinya dalam sejarah tanah air, Perdana Menteri British, Mr Edward Heath melawat Malaysia. Walaupun negara ini telah dijajah oleh Britain lebih dari seabad dan telah mencapai kemerdekaan selama 13 tahun inilah kali pertama Perdana Menteri British menjejakkan kakinya ke negara ini. Perdana Menteri British itu singgah di sini dalam perjalanannya menghadiri Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel yang berlangsung di Singapura dari 14hb Januari hingga 22hb Januari. Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel ini juga adalah merupakan yang pertama kali dihadiri oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein sejak beliau menjadi Perdana Menteri. 

persidangan media

Persidangan yang berlangsung di Singapura itu dipenuhi terutamanya dengan perbincangan tentang keselamatan jalan perdagangan laut di Atlantik Selatan dan Lautan India berikutan dengan cadangan kerajaan British hendak menjual senjata-senjata ke Afrika Selatan. Untuk menimbangkan hal ini selanjutnya Persidangan itu telah mengambil keputusan menubuhkan Kumpulan Kajian yang terdiri dari lapan buah negara iaitu Australia, India, Jamaica, Kanada, Kenya, Malaysia, Nigeria dan United Kingdom. Pelantikan Malaysia ke dalam Kumpulan Kajian ini adalah sejajar dengan tentangannya terhadap dasar perbezaan warna kulit dan sokongannya yang teguh terhadap Komanwel di samping penghormatan peribadi kepada Tun Abdul Razak. Bagaimanapun, Malaysia bersama-sama Nigeria dan India menarik diri dari Kumpulan ini kerana Kerajaan British mengumumkan keputusannya untuk terus menjual senjata kepada Afrika Selatan. Malaysia berpendapat bahawa pengumuman itu menyebabkan kerja Kumpulan Kajian ini tidak akan berfaedah. Pengunduran diri tiga buah negara itu akhirnya menyebabkan perpecahan Kumpulan Kajian itu. 

Tun Abdul Razak

Semasa lawatannya ke Malaysia Mr Edward Heath dan Perdana Menteri YAB Tun Abdul Razak telah mengadakan perbincangan mengenai perhubungan dan kepentingan bersama kedua buah negara terutamanya yang berhubung dengan ekonomi dan pembangunan negara. Perdana Menteri British itu juga menyatakan bahawa kerajaannya akan membantu Malaysia "Memperolehi Apa Yang Dihajatnya" apabila Kerajaan British merundingkan kemasukannya ke Pasaran Bersama Eropah.
    Blogger Comment
    Facebook Comment
 
Copyright © 2013. Berita Lama - All Rights Reserved