Perasmian Maktab Angkatan Tentera 1972

Pada hari ini pada 8 Januari 1972, dengan rasminya Maktab Turus Angkatan Tentera Diraja Malaysia telah dibuka oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Abdul Razak bin Hussein. Maktab yang serba lengkap ini disifatkan sebagai peringkat lanjutan kepada Maktab Tentera Diraja yang telah dibina terlebih dahulu di Port Dickson. Di sinilah lahir bakal pegawai-pegawai tentera yang bertauliah. Cadangan untuk menubuhkan Maktab Turus Angkatan Tentera ini telah disuarakan oleh YAB Perdana Menteri sejak tahun 1969 lagi untuk memenuhi kehendak dan keperluan-keperluan Angkatan Bersenjata terutamanya untuk mendapatkan pegawai-pegawai terlatih di peringkat pertengahan. Keperluan itu menjadi tambah mendesak memandangkan kepada perkembangan-perkembangan politik yang tidak seimbang di Asia, khususnya di rantau Asia Tenggara. Memandangkan kepada keadaan itu dan setelah hampir 15 tahun umat di negara ini menjadi bangsa yang merdeka dan berdaulat sudah sampai masa kita mempunyai. pegawai-pegawai yang kita latih sendiri serta mempunyai sistem pertahanan yang dapat mempertahankan diri sendiri (self-reliant) sebagaimana halnya dengan latihan kakitangan kerajaan yang lainnya. Penubuhan Maktab ini adalah sesuatu yang logik dalam usaha pembangunan ke arah sebuah Negarabangsa, terutamanya kepada Angkatan Bersenjata sendiri.


Pada tahun 1963, Pusat Latihan Kakitangan Kerajaan telah ditubuhkan di Petaling Jaya untuk melatih berbagai ekelon Perkhidmatan Awam; Maktab Polis Diraja Malaysia pula telah ditubuhkan lebih awal daripada itu, iaitu pada tahun 1953. Oleh itu adalah amat wajar Angkatan Bersenjata sebagai tangan kerajaan yang penting, mempunyai Maktabnya sendiri untuk melatih pegawai-pegawai turusnya. Selama ini Malaysia banyak bergantung kepada negara-negara sahabat di dalam dan di luar Komanwel untuk melatih pegawai-pegawai tenteranya, seperti di Australia, Amerika Syarikat, Canada, India, Indonesia, Pakistan dan United Kingdom. Bagaimanapun, Malaysia tidak bercadang untuk menghentikan penghantaran pegawai-pegawai tenteranya berkursus di luar negeri. Penghantaran pegawai-pegawai Malaysia ke maktab-maktab tentera di luar negeri akan dapat mengeratkan perhubungan di antara Angkatan Bersenjata di negara-negara tempat mereka berkursus di samping menjalin persahabatan di antara negara-negara berkenaan. Di samping itu ia akan dapat memberikan pengetahuan yang luas daripada persekitaran dan juga pengalaman yang diperolehi oleh maktab turus negara-negara berkenaan yang tidak mungkin diperolehi oleh Malaysia sendiri. 

Penubuhan Maktab Turus ini akan memberi peluang kepada pegawai-pegawai turus melanjutkan latihan yang telah mereka perolehi itu kepada suasana dan persekitaran tempatan oleh kerana silibusnya dirancang dan disusun begitu rupa untuk memenuhi keperluan-keperluan kita sendiri dan diubahsuai mengikut suasana dan persekitaran Malaysia, dengan menegaskan kepada keadaan geografis tempatan serta struktur sosio-ekonomi dan politik yang terdapat di negara ini.'Maktab Turus ini diketuai oleh Bragadier General Arul sebagai Komandannya yang pertama dengan tenaga-tenaga pengendali yang terdiri daripada pegawai-pegawai tentera Malaysia sendiri. Mereka ini mendapat latihan daripada maktab-maktab tentera yang ternama seperti Quetta dan Fort Lavensworth; Cranwell dan Bandung, Wellington dan Queen's Cliff untuk disesuaikan dengan suasana dan persekitaran di Malaysia. Perdana Menteri Tun Abdul Razak ketika menutup ucapan rasminya menganggap penubuhan maktab itu sebagai cabaran tahun 1972 kepada Angkatan Bersenjata dan beliau sendiri akan mengambil tahu tentang kemajuannya.
    Blogger Comment
    Facebook Comment
 
Copyright © 2013. Berita Lama - All Rights Reserved