Tun Abdul Razak meninggal dunia

Pada 14 Januari 1976, dengan rasa yang amat sedih dan mengharukan, seluruh negara terpaksa menerima ketentuan Ilahi apabila Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua meninggal dunia di London. Putera sulung kepada Datuk Hussein bin bin Mohd. Taib (Orang Kaya Shahbandar, Pahang), beliau dilahirkan pada 11 Mac 1942 di Pulau Keladi, Pahang. Beliau telah mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Pekan dan pelajaran Menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pada tahun 1939 memulakan kerjayanya sebagai seorang pentadbir dalam Perkhidmatan Pentadbiran Melayu (MAS).

Tun Abdul Razak


Pada tahun 1940, Tun Abdul Razak telah dihadiahkan biasiswa untuk menuntut di Raffles College Singapura dan terus melanjutkan pengajiannya dalam jurusan undang-undang di Lincoln Inn, London atara tahun 1947 hingga 1949. Sekembalinya ke tanahair dalam tahun 1949, beliau dilantik sebagai Pegawai Pentadbiran Malaya (MCS). Pada tahun 1951, beliau dilantik sebagai Ahli tidak rasmi Majlis Undangan Persekutuan sehingga Majlis itu dibubarkan pada tahun 1955. Pada tahun 1952, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan dilantik sebagai Pemangku Menteri Besar Pahang pada bulan Februari 1955.

Penglibatan beliau dalam arena politik bermula semasa beliau masih menuntut di London. Beliau menjadi ahli Parti Buruh British dan merupakan seorang pemimpin pelajar yang cergas dan terkenal dalam Kesatuan Melayu United Kingdom dan Malayan Forum. Bagaimanapun, penglibatan beliau secara aktif dalam arena politik tanahair bermula pada tahun 1950 apabila beliau memasuki UMNO dan dipilih menjadi Ketua Bahagian Pemuda. Pada tahun 1951, beliau menjadi Timbalan Yang Dipetua UMNO dan memegang Jawatan itu, sehingga 23hb Januari 1970.

Abdul Razak

Sebagai seorang tokoh politik yang berkaliber dan gigih, beliau dengan mudah memenangi Pilihanraya Persekutuan yang berlangsung pada bulan Julai 1955. Dengan kemenangan itu, beliau telah dilantik sebagai Menteri pelajaran pada 9hb Ogos 1955. Beliau adalah salah seorang anggota rombongan Merdeka ke London pada bulan Januari 1956. Selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 Tun Abdul Razak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri disamping memegang jawatan-jawatan yang lain, sehingga 22 September 1970 apabila beliau menjadi Perdana Menteri mengantikan Tunku Abdul Rahman Putra yang bersara terus dari Jawatan itu.

Sesungguhnya, jasa dan bakti Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua itu amat banyak dan besar. Negara mengakuinya sebagai Bapa Pembangunan Negara. Perjuangan untuk membangunkan negara melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang beliau ilhamkan itu masih dipertengahan jalan apabila beliau meninggalkan kita buat selama-lamanya pada tahun 1976. Negara terpaksa merelakan pemergian beliau dengan rasa sayu dan terharu. Penghormatan negara begitu besar dan di Makam Pahlawan jasad beliau disemadikan.

Pindaan Perlembagaan Kedah 1848

Sultan Badlishah

Pada 13 Januari 1957, Baginda Sultan Kedah, Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halimshah meminda Perlembagaan Negeri Kedah 1848. Pindaan itu antara lain menghapuskan jawatan penasihat British yang diwujudkan di negeri Kedah melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, yang meletakkan negeri itu dibawah pengaruh British. Upacara yang bersejarah itu berlansung di Istana Chegar, Anak Bukit, Alor Setar, yang dihadiri olh Raja Muda, menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kedah.

PM Britain pertama melawat Malaysia

Pada 12 Januari 1971, buat pertama kalinya dalam sejarah tanah air, Perdana Menteri British, Mr Edward Heath melawat Malaysia. Walaupun negara ini telah dijajah oleh Britain lebih dari seabad dan telah mencapai kemerdekaan selama 13 tahun inilah kali pertama Perdana Menteri British menjejakkan kakinya ke negara ini. Perdana Menteri British itu singgah di sini dalam perjalanannya menghadiri Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel yang berlangsung di Singapura dari 14hb Januari hingga 22hb Januari. Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel ini juga adalah merupakan yang pertama kali dihadiri oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein sejak beliau menjadi Perdana Menteri. 

persidangan media

Persidangan yang berlangsung di Singapura itu dipenuhi terutamanya dengan perbincangan tentang keselamatan jalan perdagangan laut di Atlantik Selatan dan Lautan India berikutan dengan cadangan kerajaan British hendak menjual senjata-senjata ke Afrika Selatan. Untuk menimbangkan hal ini selanjutnya Persidangan itu telah mengambil keputusan menubuhkan Kumpulan Kajian yang terdiri dari lapan buah negara iaitu Australia, India, Jamaica, Kanada, Kenya, Malaysia, Nigeria dan United Kingdom. Pelantikan Malaysia ke dalam Kumpulan Kajian ini adalah sejajar dengan tentangannya terhadap dasar perbezaan warna kulit dan sokongannya yang teguh terhadap Komanwel di samping penghormatan peribadi kepada Tun Abdul Razak. Bagaimanapun, Malaysia bersama-sama Nigeria dan India menarik diri dari Kumpulan ini kerana Kerajaan British mengumumkan keputusannya untuk terus menjual senjata kepada Afrika Selatan. Malaysia berpendapat bahawa pengumuman itu menyebabkan kerja Kumpulan Kajian ini tidak akan berfaedah. Pengunduran diri tiga buah negara itu akhirnya menyebabkan perpecahan Kumpulan Kajian itu. 

Tun Abdul Razak

Semasa lawatannya ke Malaysia Mr Edward Heath dan Perdana Menteri YAB Tun Abdul Razak telah mengadakan perbincangan mengenai perhubungan dan kepentingan bersama kedua buah negara terutamanya yang berhubung dengan ekonomi dan pembangunan negara. Perdana Menteri British itu juga menyatakan bahawa kerajaannya akan membantu Malaysia "Memperolehi Apa Yang Dihajatnya" apabila Kerajaan British merundingkan kemasukannya ke Pasaran Bersama Eropah.

Mesyuarat Majlis Getah Asli Pertama

Pada 10 Januari 1978, mesyuarat yang pertama Majlis Getah Asli Antarabangsa diadakan di Ballroom, Hotel Equatorial dan dibuka dengan rasminya oleh Menteri Perusahaan Utama, Datuk Amar Haji Abdul Taib bin Mahmud. Mesyuarat ini menandakan pelancaran secara rasmi Perjanjian Getah Asli Antarabangsa mengenai stabilisasi harga yang ditandatangani di Jakarta dalam bulan November 1976 dan kemudiannya disahkan oleh negara-negara anggota Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (Association of Natural Rubber Producing Countries-ANRPC) iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Sri Lanka dan Thailand. Persetujuan ini adalah hasil daripada usaha keras yang bertahun-tahun dan pertimbangan yang teliti oleh negara-negara pengeluar getah asli untuk merancang satu skim yang dapat menghadapi secara berkesan turun-naik harga yang telah sekian lama melanda industri getah asli. Perjanjian itu juga adalah untuk mencapai stabilisasi harga pada tahap-tahap yang tidak merugikan pengeluar-pengeluar getah dan pada waktu yang sama dapat diterima oleh pengguna-pengguna.

persidangan pertama getah asli

Perjanjian yang ditandatangani dalam bulan November 1976 itu juga dalam usahanya untuk menstabilisasi harga getah memutuskan untuk:
(1) memperuntukkan stok penimbal permulaan antarabangsa (initial international buffer stock) sebanyak 100,000 tan; dan
(2) Skim rasionalisasi pembekalan yang komplimenteri (complementary supply rasionalisation scheme) untuk mengawal pemasaran getah asli dengan lebih dahulu menentukan kuota eksport bagi semua negara anggota.

Memandangkan kepada cabaran-cabaran yang hebat daripada industri getah tiruan dan juga realiti yang terpaksa dihadapi oleh industri getah asli, Menteri Perusahaan Utama Malaysia dalam ucapan perasmiannya menyarankan agar negara-negara pengeluar getah asli mengeksploitasi kemungkinan dan peluang-peluang untuk menstabilisasikan harga getah asli dan memastikan suasana pelaburan di dalam perkembangan industri getah asli. 
getah

Untuk mencapai maksud itu dalam jangka masa panjang beliau menyarankan beberapa pendekatan iaitu:
(1)persatuan pengeluar untuk mengawal bekalan; dan
(2) sistem stok penimbal (buffer stock system) dengan penyertaan secukupnya dari pengguna-pengguna.
Selain daripada perkara stabilisasi harga mesyuarat itu juga telah membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk meninggikan mutu getah asli melalui penyelidikan dalam teknik torehan, kawalan mutu, kos pengeluaran dan sebagainya.

Laporan Perpindahan Straits Settlements



Pada hari ini pada 9 Januari 1864, Setiausaha Jawatankuasa Pemerintahan Negeri-negeri Selat, R.C. Woods telah menyediakan satu laporan mengenai belanjawan sumber-sumber kewangan Negeri-negeri Selat berkaitan dengan perkara pemindahan kuasa pentadbiran dari Kerajaan British di India kepada Kerajaan British di London. Laporan ini adalah hasil dari mesyuarat yang diadakan oleh Jawatankuasa Pemindahan Pentadbiran Negeri-negeri Selat. Sumber-sumber kewangan yang disebutkan dalam laporan itu termasuklah belanjawan ketenteraan, perkhidmatan awam, aktiviti perdagangan, Jabatan Tanah, Jabatan Kerja Raya, Cukai, Undang-undang, Majlis Perbandaran dan perkara-perkara yan,g berkaitan. R.C. Woods juga mengusulkan supaya dibatalkan jabatan yang tidak mendatangkan faedah tetapi memerlukan perbelanjaan yang banyak dan merugikan Kerajaan. Dalam laporan itu juga R.C. Woods menekankan faedah serta keuntungan dan kepentingan pentadbiran Negeri-negeri Selat jika ditadbirkan dari London dibandingkan dengan pentadbirannya dari India. Matlamat utama pemindahan kuasa pentadbiran ini ialah untuk mengurangkan perbelanjaan pentadbiran kepada yang paling minima bagi mendapatkan keuntungan dari aktiviti perdagangan serta melicinkan pentadbiran Kerajaan British di Negeri-negeri Selat.

Perasmian Maktab Angkatan Tentera 1972

Pada hari ini pada 8 Januari 1972, dengan rasminya Maktab Turus Angkatan Tentera Diraja Malaysia telah dibuka oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Abdul Razak bin Hussein. Maktab yang serba lengkap ini disifatkan sebagai peringkat lanjutan kepada Maktab Tentera Diraja yang telah dibina terlebih dahulu di Port Dickson. Di sinilah lahir bakal pegawai-pegawai tentera yang bertauliah. Cadangan untuk menubuhkan Maktab Turus Angkatan Tentera ini telah disuarakan oleh YAB Perdana Menteri sejak tahun 1969 lagi untuk memenuhi kehendak dan keperluan-keperluan Angkatan Bersenjata terutamanya untuk mendapatkan pegawai-pegawai terlatih di peringkat pertengahan. Keperluan itu menjadi tambah mendesak memandangkan kepada perkembangan-perkembangan politik yang tidak seimbang di Asia, khususnya di rantau Asia Tenggara. Memandangkan kepada keadaan itu dan setelah hampir 15 tahun umat di negara ini menjadi bangsa yang merdeka dan berdaulat sudah sampai masa kita mempunyai. pegawai-pegawai yang kita latih sendiri serta mempunyai sistem pertahanan yang dapat mempertahankan diri sendiri (self-reliant) sebagaimana halnya dengan latihan kakitangan kerajaan yang lainnya. Penubuhan Maktab ini adalah sesuatu yang logik dalam usaha pembangunan ke arah sebuah Negarabangsa, terutamanya kepada Angkatan Bersenjata sendiri.


Pada tahun 1963, Pusat Latihan Kakitangan Kerajaan telah ditubuhkan di Petaling Jaya untuk melatih berbagai ekelon Perkhidmatan Awam; Maktab Polis Diraja Malaysia pula telah ditubuhkan lebih awal daripada itu, iaitu pada tahun 1953. Oleh itu adalah amat wajar Angkatan Bersenjata sebagai tangan kerajaan yang penting, mempunyai Maktabnya sendiri untuk melatih pegawai-pegawai turusnya. Selama ini Malaysia banyak bergantung kepada negara-negara sahabat di dalam dan di luar Komanwel untuk melatih pegawai-pegawai tenteranya, seperti di Australia, Amerika Syarikat, Canada, India, Indonesia, Pakistan dan United Kingdom. Bagaimanapun, Malaysia tidak bercadang untuk menghentikan penghantaran pegawai-pegawai tenteranya berkursus di luar negeri. Penghantaran pegawai-pegawai Malaysia ke maktab-maktab tentera di luar negeri akan dapat mengeratkan perhubungan di antara Angkatan Bersenjata di negara-negara tempat mereka berkursus di samping menjalin persahabatan di antara negara-negara berkenaan. Di samping itu ia akan dapat memberikan pengetahuan yang luas daripada persekitaran dan juga pengalaman yang diperolehi oleh maktab turus negara-negara berkenaan yang tidak mungkin diperolehi oleh Malaysia sendiri. 

Penubuhan Maktab Turus ini akan memberi peluang kepada pegawai-pegawai turus melanjutkan latihan yang telah mereka perolehi itu kepada suasana dan persekitaran tempatan oleh kerana silibusnya dirancang dan disusun begitu rupa untuk memenuhi keperluan-keperluan kita sendiri dan diubahsuai mengikut suasana dan persekitaran Malaysia, dengan menegaskan kepada keadaan geografis tempatan serta struktur sosio-ekonomi dan politik yang terdapat di negara ini.'Maktab Turus ini diketuai oleh Bragadier General Arul sebagai Komandannya yang pertama dengan tenaga-tenaga pengendali yang terdiri daripada pegawai-pegawai tentera Malaysia sendiri. Mereka ini mendapat latihan daripada maktab-maktab tentera yang ternama seperti Quetta dan Fort Lavensworth; Cranwell dan Bandung, Wellington dan Queen's Cliff untuk disesuaikan dengan suasana dan persekitaran di Malaysia. Perdana Menteri Tun Abdul Razak ketika menutup ucapan rasminya menganggap penubuhan maktab itu sebagai cabaran tahun 1972 kepada Angkatan Bersenjata dan beliau sendiri akan mengambil tahu tentang kemajuannya.

Perjanjian Pertahanan Tanah Melayu



Pada hari ini 3.10.1957, satu Perjanjian Pertahanan Tanah Melayu-British telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah berlaku perdebatan hangat di kalangan ahli-ahli yang terpilih dan dilantik, dengan itu Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan telah membawa usul supaya perjanjian itu diluluskan. Perjanjian pertahanan tersebut penting bagi mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu dari sebarang pencerobohan asing dalam usahanya menghapuskan serta menghancurkan pengganas-pengganas komunis. Menurut perjanjian itu juga, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu membenarkan tentera-tentera Inggeris ditempatkan di Tanah Melayu dalam kawasan-kawasan yang tertentu yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Inggeris juga diberi pengkalan tentera di Tanah Melayu tetapi jumlah tentera dan lokasi pengkalan ini mestilah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Tunku menyatakan bahawa Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka adalah bebas membuat dan mengikut dasar luar negerinya sendiri tanpa mengikut telunjuk mana-mana pihak. Tanah Melayu juga boleh membuat perjanjian-perjanjian dengan negara-negara lain sekiranya perjanjian-perjanjian itu memberi faedah dan manfaat besar kepada rakyat dan negara Tanah Melayu. Pada hari ini dalam tahun 1957, dengan penuh kesedaran, tanggungjawab serta pandangan yang jauh dan bijak ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu-Inggeris telah diluluskan. Perjanjian Pertahanan Tanah Melayu-British yang diluluskan pada hari ini telah dimeterai pada 13 Oktober 1957 serta ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman Putra bagi pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Encik G. W. Tory, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak Kerajaan Inggeris.
 
Copyright © 2013. Berita Lama - All Rights Reserved